Zulkiple Abd Ghani dilahirkan di Bukit Besar, Kedah. Beliau merupakan anak kedua dari empat adik beradik. Beliau memulakan alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Besar dan bersekolah menengah di SMA Taufikiah Khairiah al-Halimiah, Batu 16, Gurun, Kedah, dan Kolej Islam Kelang (KIK). Selepas menamatkan pengajian di peringkat STPM dengan cemerlang, beliau ditawarkan Biasiswa Diraja bagi menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang dakwah dan kepimpinan. Beliau seterusnya mendaftar sebagai pelajar M.Phil di University of Edinburgh, Scotland, dan selepas lapan bulan beliau dinaik taraf kepada pelajar Ph.D dan dianugerah ijazah kedoktoran pada bulan Mei 1996 dengan fokus kajian kepada rancangan agama di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

Selepas kembali beliau berkhidmat di Fakulti Pengajian Islam UKM pada tahun 1997, beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan sehingga tahun 2003 dan seterusnya menjadi Felo Penyelidik Kanan Bersekutu, Institut Islam Hadhari, UKM. Beliau menyertai USIM pada bulan November 2009 dan berpengalaman sebagai Timbalan Dekan dan Dekan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Ahli Senat dan ahli Lembaga Pengarah Universiti, serta dilantik sebagai menjalankan fungsi dan seterusnya Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) bermula September 2014 hingga Jun 2018.  

Beliau telah menghasilkan 30 buah buku sebagai penulis utama dan editor, 40 artikel dalam jurnal peringkat kebangsaan dan antarabangsa, 45 bab dalam buku, menghadiri lebih 180 persidangan, serta telah mengraduat 21 pelajar peringkat Ph.D. Beliau juga pernah menyertai Global Leadership Discoveries Programme yang dianjurkan oleh Cambridge Executive Education di University of Cambridge pada 8-12 Disember 2014. Di peringkat kementerian, beliau dilantik sebagai panel penilai bagi skim FRGS, ERGS, LRGS serta panel penilai bagi kategori pengajaran Anugerah Akademik Negara (AAN). Di peringkat negara, beliau dilantik sebagai ahli Panel Majlis Perunding Islam (MPI) di samping pernah mengendalikan program siaran langsung Diskusi TV 1 sebanyak lebih 50 siri sebagai moderator. 

Selain itu, beliau juga dijemput menyampaikan syarahan ke hadapan DYMM Raja Pangiran Anak Saleha, Raja Isteri Negara Brunei Darussalam pada bulan Ogos 2016 sempena Hari Keputeraan Baginda. Beliau telah menerima pelbagai anugerah termasuk Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di UKM dan USIM, Pingat Emas iTEX 12, Anugerah Penyelidikan (Kategori Sains Sosial-Penyelidik Terbaik) 2013 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Istimewa, USIM. Beliau juga dilantik sebagai profesor pelawat di Rumeli Istanbul University dan International University for Renewal (IUR) pada tahun 2018.

EKOSISTEM DAKWAH DALAM ERA DIGITAL

  • Jenama: Penerbit USIM
  • Kod Produk: 9789674406554
  • Kewujudan: Ada Stok
  • RM15.00